Trip ke Krabi Bersama Demy Travel and Tours Sdn Bhd

trip to krabi thailand
  • 1,039
    Paparan
  • Perkongsian
Ditulis pada 20 February 2015 • 1,039 paparan
oleh Website/Blog

Baru-baru ini Acul berpeluang untuk melancong ke Krabi, Thailand yang merupakan antara destinasi pelancongan yang popular di dunia. Memang dah lama Acul pasang impian nak kesini tapi tidak kesampaian. Apatah lagi tahun 2014 Acul tak berpeluang untuk keluar dari negara dan rata-ratanya hanya melancong di dalam negara sahaja.

Terima kasih tidak terhingga kepada Demy Travel and Tours Sdn Bhd dan PakejKrabi.com kerana sudi menaja dan memberikan peluang kepada Acul untuk kesini.

Ke Krabi Melalui Jalan Darat

trip ke krabi dengan van vip

Kalau nak di ikutkan permulaan perancangan adalah trip Acul pada Raya Cina nanti tetapi telah diawalkan trip untuk bersama trip syarikat Dropship.im iaitu rata-ratanya adalah kenalan Acul di kalangan internet marketer (IM). Sebelum trip ke Krabi, Acul berada di Brunei untuk tempoh 3 hari kerana tugasan video korporat untuk sebuah kolej agama.

Pulang je dari Brunei hanya rehat sehari malam tu dah bertolak ke Padang Besar, Perlis bersama 2 lagi rakan iaitu Zain Asmawi (videographer) dan Eazy Izzudin (Blogger) untuk serta dalam trip ini. Mereka berdua juga ditaja sepenuhnya untuk trip ke Krabi untuk tempoh 4 hari ni. Kami bertolak lebih kurang jam 1 pagi dan sampai ke Padang Besar pada 7 pagi. Perjalanan lebih kurang 6 jam dari Kuala Lumpur.

Sampai sahaja di Padang Besar kami bertemu dengan rakan-rakan internet marketer lain yang seramai 11 orang secara keseluruhannya. Ada beberapa rakan yang Acul hanya kenal di Facebook dan group WhatsApp sahaja dan ini merupakan kali pertama bertemu dan ada yang dah lama tak jumpa. Antaranya Freddy yang last jumpa kalau tak silap Acul tahun 2012. Boleh juga katakan trip ni trip reunion antara rakan-rakan internet marketer.

Pagi tu jam 9.00 pagi kami mula masuk ke sempadan Thailand melalui Padang Besar. Urusan kemasukan tidaklah terlalu leceh. Perjalanan dari sempadan ke Krabi mengambil masa lebih kurang 6 jam. Ikutkan memang letih. Dari KL drive ke Padang Besar 6 jam. Lepas tu nak mengadap lagi 7 jam untuk ke Krabi. Dah jadi 13 jam. Serius memang badan letih. Perjalanan ke Krabi pula kami menaiki van VIP. Serius memang selesa ditambah lagi dengan disediakan wifi. Jadi tak perlu nak risau pasal nak update gambar dan info terkini mengenai trip ke Krabi ni.

Walaupun letih perjalanan 7 jam melalui jalan darat namun pengalaman yang dirasai itu yang paling berharga sebab dapat lihat suasana perjalanan berbanding naik kapal terbang. Tak salah nak mencuba sekali-sekala.

Krabi, Syurga Buat Pelancong

hotel di krabi

Lebih kurang jam 4 petang kami tiba di Jalan Aonang, Krabi Thailand. Suasana lebih kurang macam di Pantai Chenang Langkawi (bagi yang pernah ke Langkawi). Petang tu lalu di tepi pantai memang nampak ramai pelancong luar yang ambil peluang untuk bersidai di bawah pancaran matahati dan bersantai di tepi pantai.

check in hotel di krabi

Sampai je di lokasi hotel, kami mula check in. Hotel yang diberikan adalah hotel taraf 2 bintang. Walaupun taraf 2 bintang, mak aih… Selesa kot dan yang paling penting wifi laju. Check kat speedtest 14mb download. Amik kau! Serius puas hati.

Sampai-sampai je kat dalam bilik hotel Acul dah tak pikir banyak, terus cari bantal nak rehatkan badan yang memang letih. Letih memang letih tapi bila pikir balik kalau nak tidur baik duduk rumah je. Petang tu Acul dan rakan sebilik gagahkan diri untuk merayau di jalan AoNang ni dan kebetulan perut pun lapar time tu. Oh ya… Perbezaan waktu di Krabi dengan Malaysia adalah cepat 1 jam.

berjalan di jalan Aonang Krabi Thailand

Waktu nak cari makanan tu terfikir gak, boleh ke nak cari makanan halal kat sini. Yelahkan tempat orang. Kalau tempat sendiri tak apa la gak. Rupa-rupanya nak cari makanan halal tu takde la susah sangat sebab rata-rata peniaga kat sini beragama islam. So… tak la susah nak cari. Petang tu Acul beli Kebab Ayam, ice blanded manga dan air tin coke.

makan malam di krabi thailand

Malam tu kami makan malam pada jam 8 malam dan menu kami adalah makanan laut. Rasanya memang sedap terutamanya tomyam. Tak perlu sambal belacan dan memang power. Berpeluh jugak la makan.

krabi town

Selesai je makan kami pergi ke pasar di Bandar Krabi untuk membeli baju dan seluar bagi kegunaan aktiviti laut keesokan harinya. Macam Acul, Acul dah bawa siap-siap dari rumah tapi Acul tak lepaskan peluang ni beli sehelai dua untuk dibawa balik ke Malaysia.

Krabi Island Hopping

bersiap untuk krabi island hopping

Hari ke-2 Acul dan rakan-rakan berada di Krabi kami mulakan dengan aktiviti melawat pulau. Tak silap Acul kat sini ada 7 pulau kesemuanya tetapi yang biasanya yang diambil oleh pelancong adalah lawatan 4 pulau sahaja iaitu Pranang Beach, Tup Island, Chicken Island dan Poda Island.

trip to krabi thailand

Kalau dah kesini memang tak lepaskan peluang untuk bergambar. Bukan selalu dapat peluang nak berjalan ke negara orangkan?

Jadi sebelum anda pergi ke Krabi Thailand ni dan buat Island Hoping pastikan anda sediakan pelindung plastik untuk telefon anda dan pastikan juga anda membawa kamera yang kalis air. Kalau tak memang tak selamat kamera anda tu. Antara yang mudah dibawa adalah action camera seperti GoPro.

chicken island krabi thailand

Biasanya lawatan ini mengambil masa 1 hari. Ni pun dah penat wei. Oh ya ada 1 lagi pulau yang memang popular di kalangan pelancong iaitu Phi Phi Islands. Yang ni Acul dan rakan-rakan tak pergi sebab tak termasuk dalam pakej.

bertolak untuk krabi island hopping

Antara aktiviti yang kami buat hari ke-2 ni adalah lawatan ke 4 pulau, mandi manda, snorkeling, meredah gua dan makan tengah hari di tepi pantai. Kalau nak buat lawatan pulau ni pelancong mestilah turun awal ke kawasan pantai untuk naik bot. Tempahan pakej dari awal juga amat penting sebab memang ramai yang akan buat aktiviti ini disini. Bot biasanya akan mula bertolak pada jam 8.30 pagi.

snorkeling di krabi

Apa yang menariknya di Krabi ni adalah air lautnya yang jernih dan menghijau. Memang cantik dan tak hairan Krabi merupakan antara tempat tercantik di dunia dan seringkali menjadi tumpuan pelancongan dari pelbagai negara.

bergambar di poda island krabi thailand

Antara yang menarik perhatian Acul adalah Poda Island yang memang cantik. Di Poda Island ini merupakan lokasi dimana kita selalu lihat iklan berkaitan pelancongan di Krabi. Selain dari itu juga ada floating market dimana peniaga menjual makanan dan minuman di atas bot. Harganya juga berpatutan dan ada peniaga yang menjual makanan yang halal.

Lebih kurang jam 5 petang kami tiba semula di hotel. Memang penat tapi seronok dan pengalaman yang tidak akan dilupakan sampai bila. Balik je hotel semua pengsan.

Emerald Pool Dan Krabi Hot Spring

lawatan ke emerald pool krabi thailand

Hari ke-3 kami teruskan aktiviti ke Emerald Pool (Sa Morakot) yang terletak lebih kurang 1 jam dari jalan Aonang. Emerald Pool merupakan kawasan mandi berbentuk kolam dimana dikatakan mempunyai khasiat tertentu yang baik untuk kulit pada yang mandi disini.

Dasar air kolam ni pula seperti batu zamrud yang memang kehijauan. Airnya pula sangat jernih seperti kristal. Pada yang kesini pasti akan jatuh cinta dengan kecantikannya.

perjalanan ke emerald pool krabi thailand

Terdapat 2 jalan untuk ke Emerald Pool ni dari pintu masuk iaitu 800 meter dan 1,400 meter. Kami mengambil perjalanan jarak 1,400 meter sebab nak melihat panorama yang ada disini. Rugi kalau datang ke sini tak lihat sepenuhnya apa yang ada kat sini.

Nak tercabut kaki wei berjalan nak ke Emerald Pool ni. Huhuhu…

blue pool krabi thailand

Sampai je kat Emerald Pool kami teruskan naik lagi ke atas untuk ke Blue Pool terlebih dahulu yang tambahan jaraknya 400 meter tetapi perlu berjalan sambil mendaki. Yang ni paling perit.

Sampai je di Blue Pool segala penat lelah hilang sebab terpesona dengan keindahan air kolam ini yang biru dan jernih sampai nampak permukaan dasar kolam. Serius memang cantik!

mandi di emerald pool krabi thailand

Pelancong yang datang ke Blue Pool ni tidak dibenarkan mandi disini kerana untuk menjaga kolam ini dari rosak dan untuk mengekalkan semulajadinya. Tambahan Blue Pool ni sangat kecil. Rata-rata mereka yang kesini hanya akan mengambil gambar sahaja dan akan turun balik ke Emerald Pool untuk mandi. Kami ambil masa setengah jam untuk mandi di Emerald Pool ni. Air dia memang sejuk tapi yang tak bestnya ramai sangat orang.

krabi hot spring

Setel je mandi di Emerald Pool kami terus bertolak ke Hot Spring pula. Yang menariknya Hot Spring kat sini ia adalah seperti sungai dimana air panas mengalir dari bukit. Memang syok berendam kat dalam ni.

bbq di tepi pantai aonang krabi thailand

Selepas puas berendam kami makan tengah hari dan bersiap untuk pulang ke hotel. Petang tu kami bersiap-siap untuk BBQ di tepi pantai Aonang sambil tengok panorama matahari terbenam. Dah lama tak buat BBQ ni last buat pun rasanya raya puasa tahun lepas kat Port Dickson.

menu bbq di pantai aonang krabi thailand

Antara juadah yang menjadi santapan kami malam tu adalah ayam, ketam, udang dan ikan. Memang layan makan sambil tengok keindahan pantai dan matahari terbenam. Kalau ni trip untuk berbulan madu memang dah confirm romantik habis hehe…

Hari Terakhir Di Krabi

menaiki gajah di krabi thailand

Setelah masuk hari yang ke-4, kami mula check out hotel tetapi kami tidak terus pulang ke Malaysia. Pagi tu kami ambil masa sebentar untuk menaiki gajah. Perjalanan dari hotel nak ke lokasi adalah lebih kurang 20 minit.

Ini merupakan pengalaman pertama Acul naik gajah. Jika sebelum ni hanya dapat sentuh dan tengok di depan mata je. Kami dibawa pusing merentasi hutan dan sungai dengan menaiki gajah.

mercu tanda krabi thailand

Selesai je naik gajah, kami terus sarapan pagi dan pergi ke mercu tanda Krabi. Kat sini ada satu monumen ketam besar. Kami tak lepaskan peluang untuk bergambar disini walau cuaca memang panas.

lawatan ke dalam gua

Selepas tu kami menaiki bot untuk kawasan gua. Kat sini memang banyak tinggalan sejarah dan ada juga patung tertera jepun disini. Sebenarnya banyak lagi laluan di dalam gua ni tapi sayangnya kami semua ni bukannya peminat kepada gua. Jalan-jalan kejap je dalam ni pastu penat dah.

restoran terapung di krab thailand

Selesai je melawat gua kami terus ke restoran terapung yang terletak tidak jauh dari kawasan gua tadi dengan menaiki bot. Harga minuman kat restoran terapung ni boleh tahan mahal juga harganya. Nasib baik tengah haus kalau tak memang tak beli huhu…

Lebih kurang jam 11.30 pagi kami mula bertolak pulang ke Malaysia. Perjalanan macam biasa ambil masa lebih kurang 7 jam. Kami tiba di sempadan pada jam 6.30 petang dan terus bertolak pulang ke Kuala Lumpur jam 7 petang. Acul sampai dirumah jam 2 pagi. Memang penat tapi pengalaman tu memang berharga.

Terima kasih diucapkan kepada Demy Travel and Tours Sdn Bhd terutamanya kepada saudara Abdullah kerana sudi membawa dan menaja Acul ke Krabi Thailand. Bagi sesiapa yang nak Krabi boleh la ke laman web PakejKrabi.com untuk dapatkan pakej terkini dari mereka. Selain daripada pakej Krabi mereka juga mempunyai pakej ke tempat lain di serata Malaysia dengan harga yang berpatutan.

Apa Kata Mereka?


Buat Komen

Trending Di Trilode


Atas