Tempat Menarik di Selangor Untuk Berkelah

taman tasik shah alam tempat berkelah di negeri selangor
  • 6,810
    Paparan
  • Perkongsian
Ditulis pada 11 September 2015 • 6,810 paparan
oleh Website/Blog

Aktiviti berkelah dan riadah memang digemari oleh masyarakat Malaysia bahkan juga masyarakat di seluruh dunia yang menjadikan tempat-tempat yang menarik ini sebagai tempat untuk meluangkan masa bersama ahli keluarga dan rakan-rakan.

Di Malaysia terdapat pelbagai lokasi yang menarik untuk melakukan aktiviti berkelah dan riadah dan untuk artikel kali ini kami nak berkongsikan sedikit mengenai beberapa lokasi di Negeri Selangor yang sering menjadi tumpuan orang ramai untuk berkelah terutamanya pada hari minggu.

Tempat Menarik Untuk Berkelah Di Selangor

Selangor memang kaya dengan hutan lipur yang sentiasa menjadi tumpuan orang ramai. Oleh yang demikian Negeri Selangor antara salah satu destinasi pelancongan yang popular di kalangan masyarakat tempatan dan juga luar negeri yang datang kesini untuk bercuti.

#1 Taman Tasik Shah Alam

taman tasik shah alam tempat berkelah di negeri selangor

Shah Alam terkenal dengan Taman Tasik Buatan manusia seluas 43 hektar yang diusahakan oleh Majlis Bandaraya Shah Alam. Taman tasik ini sering dikunjungi oleh penduduk di sekitar Shah Alam dan bandar-bandar terdekat dengannya sebagai lokasi untuk beriadah dan bersantai bersama ahli keluarga. Taman Tasik Shah Alam ini juga sering dijadikan lokasi penggambaran filem, drama, video musik dan jurufoto perkahwinan.

Di Taman Tasik Shah Alam terdapat pelbagai kemudahan yang disediakan, antaranya ialah tandas awam, surau, kedai makan, bersampan, taman permainan, trek jogging dan banyak lagi. Antara tarikan lain yang berhampiran juga adalah Masjid Negeri Shah Alam, i-City Shah Alam dan Taman Air WetWorld.

Terdapat juga 4 pusat membeli belah yang berhampiran dengan Taman Tasik Shah Alam iaitu Plaza Alam Sentral, Kompleks PKNS Shah Alam, SACC Mall dan Anggerik Mall. Jika anda kesini jangan lupa singgah sebentar di Medan Selera Seksyen 2 dan cuba pelbagai menu makanan disitu dengan harga yang murah tetapi berbaloi. Antara yang popular adalah Air Batu Campur (ABC) dan ikan bakar.

#2 Hutan Rekreasi Sungai Congkak

Sungai Congkak, Hulu Langat adalah lokasi berkelah yang popular di kalangan masyarakat Negeri Selangor dimana di Sungai Congkak ini sering dikunjungi oleh masyarakat tempatan terutamanya pada hari minggu untuk aktiviti bermandi-manda, barbeku (BBQ) dan berkelah. Air sungai yang dingin, jernih dan jeram-jeram adalah tarikan utama Hutan Rekreasi Sungai Congkak. Ia terletak di kawasan hutan simpanan sungai Lang dengan hutan hujan tropika warna-warni dan pelbagai spisis flora dan fauna.

Terdapat banyak lokasi untuk berkelah yang ada di Sungai Congkak ini. Antara yang sering dikunjungi adalah di Congkak Park and Resort yang diselenggara oleh Tourism Selangor. Terdapat pelbagai kemudahan yang ada di Congkak Park and Resort ini antaranya adalah tapak perkhemahan, tapak, tempat persalinan, pondok, tapak barbeku (BBQ), tandas awam, surau, taman permainan, chalet untuk tujuan penginapan dan dewan orang ramai. Jadi ianya disediakan sesuai untuk mereka yang ingin datang kesini untuk bermalam disini.

#3 Air Terjun Sungai Gabai

Sungai Gabai terletak lebih kurang 14KM dari Sungai Congkak, Hulu Langat. Jika anda ke Sungai Congkak melalui jalan Cheras, anda akan jumpa dahulu simpang kanan ke Sungai Gabai iaitu di Batu 18 dan perjalanan untuk ke Sungai Gabai adalah lebih kurang 6KM dari simpang tersebut.

Disini juga ada menyediakan pelbagai kemudahan asas seperti surau, tandas awam, pondok, tempat persalinan, barbeku, tapak perkhemahan dan kedai makanan. Untuk mencari lokasi perkhemahan dan tapak berkelah yang menarik anda perlu melalui 300 anak tangga untuk sampai ke atas. Pastikan anda bersarapan terlebih dahulu sebelum naik ke atas dan sila pastikan selipar atau kasut anda tidak haus tapaknya dan sila awasi anak-anak kecil anda untuk mengelakan daripada tergelincir.

#4 Hutan Lipur Sungai Tekala

sunga tekala tempat menarik untuk berkelah di selangor

Sungai Tekala terletak di Semenyih Selangor dimana disini sering dijadikan sebagai sebuah lokasi pilihan pengunjung kerana tidak perlu memandu terlalu jauh dari ibu kota. Sememangnya Hutan Lipur ini menjadi tumpuan pengunjung yang mahu beriadah dan berkelah bersama keluarga pada cuti umum.

Perjalanan ke Sungai Tekala ini dari pusat bandar Kuala Lumpur adalah lebih kurang 47KM iaitu perjalanan dalam 45 minit hingga 1 jam atau lebih dan ianya bergantung kepada keadaan trafik semasa.

Hutan Lipur Sungai Tekala ini menjadi menjadi pilihan orang ramai kerana kemudahan yang disediakan seperti pondok rehat, surau, calet, denai hutan, tapak perkhemahan dan tandas yang diselenggara dengan baik oleh pihak pengurusan. Selain daripada Sungai Tekala, Bukit Broga yang tidak jauh dari Sungai Tekala ini juga merupakan tempat tumpuan bagi yang meminati aktiviti mendaki.

#5 Hutan Lipur Sungai Pertak

sungai pertak tempat menarik untuk berkelah di selangor

Sungai Pertak terletak di Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor iaitu jalan menuju ke Fraser Hill yang memang popular di kalangan masyarakat yang tinggal di daerah Rawang dan Kuala Kubu Baharu. Jarak dari pusat bandar Kuala Lumpur adalah lebih kurang 78KM melalui tol Jalan Duta. Dalam perjalanan ke Sungai Pertak ini juga anda akan dapat menikmati keindahan Empangan Kuala Kubu Baharu yang sangat cantik yang dikelilingi oleh flora dan fauna.

Seperti mana-mana lokasi berkelah yang lain, disini juga disediakan pelbagai kemudahan asas untuk keselesaan pengunjung diantaranya ialah tandas awam, tempat persalinan, tapak perkhemahan, tapak barbeku (BBQ) dan tempat letak kereta. Sungai Pertak juga sering dijadikan sebagai tempat untuk aktiviti perkhemahan oleh institusi awam dan sekolah.

Jika ingin berkelah atau bermandi manda di air terjun Sungai Pertak anda perlu melalui kawasan hutan (jungle tracking) dan melintasi sungai sejauh lebih kurang 10KM atau lebih kurang satu jam perjalanan untuk sampai ke kawasan air terjun.

_____________

Kalau nak di ikutkan banyak lagi tempat-tempat berkelah menarik yang ada di negeri Selangor. Cukuplah dengan 5 lokasi tumpuan ini untuk anda kunjungi sekiranya anda ke negeri Selangor.

Selain dari Selangor juga, terdapat banyak lagi lokasi-lokasi berkelah yang berhampiran dengannya seperti Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Semoga dengan artikel yang dikongsikan ini dapat membantu anda merancang untuk bercuti di negeri Selangor.

Apa Kata Mereka?


Buat Komen

Trending Di Trilode


Atas