Tempat Menarik Di Jelebu Negeri Sembilan Yang Boleh Dilawati

TITI Eco Farm jelebu negeri sembilan
  • 1,247
    Paparan
  • Perkongsian
Ditulis pada 11 September 2015 • 1,247 paparan
oleh Website/Blog

Ketika Acul mengikuti siri Kembara Cuti-Cuti 1Malaysia ke Negeri Sembilan bersama Gaya Travel Magazine dan Tourism Negeri Sembilan baru-baru ini Acul berpeluang untuk melawat Daerah Jelebu yang terletak lebih kurang 45 minit perjalanan dari pusat bandar Seremban.

Kedatangan Acul dan rakan media ke Daerah Jelebu ini adalah untuk mempelajari lebih mendalam mengenai Adat Pepatih yang sememangnya terkenal di Negeri Sembilan. Hampir keseluruhan masyarakat Jelebu masih lagi mengamalkan Adat Pepatih sehingga kini. Di Jelebu juga anda boleh melihat senibina rumah yang menggunakan konsep rumah Minangkabau.

Tempat Menarik Di Jelebu Negeri Sembilan

Jika anda bercuti ke Negeri Sembilan jangan lupa singgah sebentar di Daerah Jelebu kerana disini terdapat pelbagai produk pelancongan yang menarik disini untuk anda kunjungi. Disamping itu juga anda boleh mempelajari serta menambah pengetahuan mengenai Adat Pepatih dan kehidupan masyarakat di Jelebu yang rata-ratanya mengamalkan Adat Pepatih.

Jom kita lihat apa yang menarik di Jelebu Negeri Sembilan ini dan apa aktiviti yang boleh anda lakukan disini.

#1 Muzium Adat

muzium adat jelebu negeri sembilan

Lokasi pertama yang anda harus pergi sekiranya anda ke Daerah Jelebu adalah Muzium Adat dimana muzium ini merupakan muzium pertama di negara kita yang menghimpunkan adat dari pelbagai etnik di Malaysia. Muzium ini turut mengkhaskan satu segmen khusus tentang Adat Perpatih bagi menonjolkan Negeri Sembilan sebagai sebuah negeri beradat.

Tumpuan diberikan kepada pengenalan dan konsep adat di Malaysia. Ia meliputi sejarah awal tercetusnya adat terbesar di Alam Melayu iaitu Adat Perpatih dan Temenggung menerusi replika Batu Batikam dan Batu Baling, artifak atau peralatan upacara adat serta pakaian adat dari pelbagai kaum di Malaysia.

Selain dari itu, disini juga, mempamerkan adat-adat yang dikaitkan dengan kitaran hidup manusia termasuk kelahiran, perkahwinan, kematian dan kegiatan ekonomi serta amalan ritual seperti bobohizan, adat turun perahu, perubatan tradisional dan juga menifestasi adat menerusi peralatan muzik.

#2 Berbasikal

Berbasikal di pekan jelebu negeri sembilan

Bagi yang inginkan sesuatu kelainan dalam percutian dan ingin manjakan mata anda dengan keindahan alam semulajadi serta memerhatikan kehidupan di pekan Jelebu anda boleh berbasikal pada waktu pagi di sekitar pekan Jelebu.

Anda juga boleh masuk ke kawasan kampung untuk melihat pemandangan alam semulajadi dan anda juga boleh melihat senibina rumah Minangkabau yang terdapat disini. Berbasikal pada waktu pagi baik untuk kesihatan. Tak salah jika kita lakukan aktiviti ini.

#3 Homestay Klawang

menangkap ikan di Homestay Klawang

Bagi yang ingin menikmati suasana kampung, jom singgah sebentar di Klawang. Perjalanan dari Pekan Jelebu ke Klawang lebih kurang 15 minit sahaja melalui jalan kampung. Disini terdapat Homestay yang menawarkan penginapan dan percutian ala kampung kepada yang berminat. Anda juga boleh melihat Makan Moyang Salleh yang berada disini.

Antara aktiviti yang anda boleh lakukan disini adalah menangkap ikan “mengoca” dengan menggunakan tangan dan jika anda nak tahu, aktiviti ini sering diadakan sekiranya ada pelancong yang datang kesini. Antara ikan yang anda boleh perolehi disini adalah ikan talapia dan ikan lampan.

Selain dari itu juga, anda juga boleh bermandi-manda di tadahan air sungai yang dibuat khas oleh penduduk tempatan dan tadahan air sungai ini menjadi lokasi penduduk kampung untuk meluangkan masa bersama keluarga.

#4 Hotel Sri Klawang

hotel sri klawang jelebu negeri sembilan

Sekiranya anda ke Jelebu dan mencari-cari tempat untuk menginap jangan risau kerana di sini terdapat Hotel Sri Klawang yang menawarkan harga bilik dengan harga yang berpatutan. Selain dari bilik, Hotel Sri Klawang juga menyediakan dewan bagi mereka yang ingin mengadakan hari keluarga, mesyuarat atau aktiviti korporat. Bagi yang ingin berkaraoke pula jangan risau. Pihak Hotel Sri Klawang boleh menyediakan untuk anda.

Hotel Sri Klawang menyediakan kemudahan asas seperti tv, bilik berhawa dingin, internet percuma dan pelbagai lagi untuk pengunjung yang datang kesini. Jadi tiada alasan lagi untuk anda tidak datang berkunjung kesini.

#5 TITI Eco Farm

TITI Eco Farm jelebu negeri sembilan

Bagi peminat kepada alam semulajadi dan ingin mencari makanan berasaskan herba anda boleh singgah sebentar di TITI Eco Farm yang terletak tidak jauh dari Hotel Sri Klawang. Kira-kira dalam 15 minit dari hotel. Di TITI Eco Farm terdapat pelbagai tanaman herba dan buah-buahan yang boleh anda lihat. Disini mata anda akan dijamukan dengan panorama bandar Jelebu dari atas bukit.

Di TITI Eco Farm juga ada menjual pelbagai makanan dan minuman berasaskan herba. Jadi ianya sesuai untuk anda yang mementingkan kesihatan tubuh badan. Mungkin kesini juga dapat mencari penawar kepada penyakit yang menghantui diri anda.

#6 Rendang Pucuk Ubi Mak Long Timah

rendang pucuk ubi mak long timah

Tidak lengkap sekiranya anda ke Jelebu Negeri Sembilan tidak mencuba masakan Rendang Pucuk Ubi dan masakan masak lemak cili padi Mak Long Timah. Ketika Acul kesini dan mencuba masakan Mak Long Timah ternyata masakan beliau memang sedap dan secukup rasa. Mak Long Timah memang terkenal di Jelebu dengan masakan kegemaran masyarakat Negeri Sembilan.

Mak Long Timah juga pernah menghiasi kaca TV dan surat khabar tempatan dengan produk beliau iaitu Rendang Pucuk Ubi. Rendang Pucuk Ubi ini juga amat sedap dimakan dengan roti. Bagi yang berminat untuk mendapatkan Rendang Pucuk Ubi ini boleh dapatkan di laman web Mak Long Timah atau datang terus ke Restoran Fatimah di Jelebu Negeri Sembilan.

#7 Sate Tulang

sate tulang jelebu negeri sembilan

Untuk pengetahuan, Sate Tulang merupakan antara makanan yang terbaru Acul pernah cuba di Negeri Sembilan. Jika sebelum ini tak pernah tahu kewujudan Sate Tulang ni. Selalunya makan Sate Ayam, Sate Daging, Sate Arnab dan macam-macam lagi tapi tak pernah pula dengar Sate Tulang. Rupanya Sate Tulang ni hanya boleh didapati di Negeri Sembilan sahaja dan tidak ramai pengusaha yang menjual Sate Tulang ini.

Di Negeri Sembilan terdapat 2 lokasi untuk anda merasai Sate Tulang iaitu di Jelebu dan Senawang. Sate Tulang ini diperam dengan rempah secara tradisional dan sudah semesti rasanya memang sedap tapi agak leceh untuk dimakan kerana tulang. Sama juga kalau kita makan rangka ayam. Sedap memang sedap tapi leceh untuk dimakan. Bagi Acul makan tanpa kuah kacang lagi sedap berbanding makan dengan kuah kacang sebab kuah kacang tu boleh hilangkan rasa rempah pada Sate Tulang.

_______

Secara keseluruhannya Daerah Jelebu mempunyai pelbagai tempat menarik yang boleh anda kunjungi. Walaupun jauh daripada pusat bandar Seremban tetapi Jelebu kaya dengan hasil bumi dan dikelilingi alam semulajadi yang menghijau. Pengalaman hampir 2 hari kesini memang membawa seribu satu kenangan pada Acul yang tidak akan Acul lupakan sampai bila-bila.

Mengenai Rendang Pucuk Ubi Mak Long Timah dan Sate Tulang memang sedap dan power!!! Rasa nak pergi semula kesitu untuk rasa balik makanan yang pernah Acul makan ketika kesini. Mungkin satu hari nanti Acul akan kesini lagi. Acul dah kesini. Anda bila lagi?

Apa Kata Mereka?


Buat Komen

Trending Di Trilode


Atas